Monday, February 18, 2008

Timbang semula BM dalam Sains, Matematik

PULAU PINANG 17 Feb. – Kerajaan akan menimbangkan permintaan untuk menggunakan bahasa ibunda dalam mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pertimbangan itu akan dibuat selepas kajian terperinci mengenai keberkesanan penggunaan bahasa Inggeris bagi kedua-dua mata pelajaran itu dilakukan.
“Bukan hanya orang Cina yang minta, orang Melayu juga minta jadi kami mengambil kira kedua-duanya.
“Ia perlu diteruskan dulu untuk satu tempoh tertentu, kemudian ia akan dikaji dan dinilai semula,” katanya ketika menjawab satu soalan mengenainya pada majlis perjumpaan dengan masyarakat Cina di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di sini hari ini.
Penggunaan bahasa Inggeris untuk pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dilaksanakan sejak 2003.
Mengenai kekurangan guru di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Bernama melaporkan Abdullah berkata, perkara itu telah dibincangkan di peringkat Kabinet dan perkara itu sedang diusahakan.
Abdullah menjelaskan, isu itu turut dibincangkan dengan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan beliau percaya ia dapat diselesaikan secepat mungkin.
Isu penggunaan bahasa ibunda untuk mengajar Sains dan Matematik bukan sahaja dibangkitkan oleh sesetengah kumpulan dalam masyarakat Cina.
UMNO Johor pada Perhimpunan Agung UMNO tahun lalu juga menggesa kerajaan mengembalikan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu bagi mengangkasakan tamadun bangsa selain memenuhi peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Wakil Badan Perhubungan UMNO Johor, Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang menimbulkan isu kedudukan bahasa Melayu itu berkata, UMNO Johor tidak menolak penguasaan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris.
Beliau memberi alasan bahasa Melayu adalah jati diri untuk mengangkasakan tamadun bangsa.
UMNO Johor dalam Konvensyen UMNO Johor 2006 turut membantah pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kerana dasar tersebut hanya menyebabkan bangsa Melayu kehilangan identiti dan jati diri.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu, Datuk Abdul Ghani Othman sebelum ini berkata, pendirian tersebut tetap tidak berubah sejak pengumuman pertama pelaksanaan bahasa Inggeris untuk mengajar kedua-dua subjek itu kerana ia berhubung rapat dengan soal maruah dan martabat bangsa.

No comments: