Monday, February 18, 2008

Kelantan sentiasa sihat...luar dan dalam

ALOR STAR 17 Feb. – Kelantan tidak ‘sakit’ dan tidak memerlukan ‘rawatan’, kata Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mursyidul Am Pas itu ketika mempertahankan corak pemerintahan parti pembangkang itu di Kelantan berkata, Kelantan membangun mengikut acuan sendiri.
Malah, menurut beliau, orang Melayu dan Cina di Kelantan hidup bagai adik-beradik dan menunjukkan kemesraan hidup bersama kerajaan yang berasaskan Islam.
“Rawat penyakit apa? Kalau penyakit kulit, jantung, buah pinggang, darah tinggi Kelantan ada hospital, ada doktor. Sudah lama Kelantan ada hospital ada doktor,” katanya pada sidang akhbar selepas memberikan ceramah di Kompleks Pas Kedah, di Kota Sarang Semut dekat sini malam tadi.
Turut hadir ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din dan Ketua Penerangan Pas Pusat, Mahfuz Omar.
Barisan Nasional (BN) pada 15 Februari lalu mengisytiharkan 2008 sebagai ‘Tahun Merawat Kelantan’ iaitu respons kepada perisytiharan ‘Tahun Melawat Kelantan 2008’ yang dibuat oleh kerajaan Pas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kempen itu bertujuan memulihkan semula keadaan negeri ini yang ‘sakit’.
Beliau berkata, kelemahan kerajaan Pas yang memerintah negeri ini sejak 1990 menyebabkan Kelantan mundur dalam semua aspek fizikal, kemanusiaan dan modal insan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai peluang Pas di Kelantan pada pilihan raya ini, Nik Abdul Aziz optimis parti itu mampu mencapai kemenangan dengan majoriti dua pertiga kerusi.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, Pas akan mengumumkan senarai calonnya secara berperingkat mengikut negeri dalam tempoh terdekat dengan meletakkan sehingga 50 peratus muka baru di kawasan-kawasan tertentu.
Senarai calon Pas di Kedah, menurut beliau, akan diumumkan pada 21 Februari ini dan parti itu menawarkan Kedah menjadi negeri ‘kebajikan’ seperti Kelantan jika mereka menang.

No comments: