Monday, February 18, 2008

Adakah Shahrir Bakal MB Baru Johor

JOHOR BAHRU 17 Feb. – “Saya tidak bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri atau Menteri Besar,” kata Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad.
Menurutnya, walaupun beliau bersedia berpindah kerusi dari Parlimen ke Dewan Undangan Negeri (DUN) namun ia tidak bermakna beliau menyimpan hasrat untuk memegang jawatan Menteri Besar.
“Bagi saya, berkhidmat untuk masyarakat lebih utama daripada mengejar jawatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tong Sampah Beroda oleh Southern Waste Management Sdn. Bhd. (SWM) kepada penduduk Taman Melodies di sini hari ini.
Beliau mengulas desas-desus mengatakan namanya antara yang disenaraikan bakal bertanding kerusi DUN Tanjung Puteri pada pilihan raya umum 8 Mac ini.
Sambil menyifatkan perkara itu sebagai spekulasi politik, Shahrir berkata, hasratnya dalam politik hanya ingin bekerja dan berkhidmat sebaik mungkin kepada penduduk Johor Bahru.
Menjawab pertanyaan apa akan berlaku terhadap beberapa projek yang dirancangnya untuk penduduk Johor Bahru jika tidak terpilih mengekalkan kerusi sedia ada, Shahrir memberitahu, khidmatnya boleh diteruskan menerusi jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru.
Sementara itu, menurut Shahrir, dua ahli majlis MBJB, seorang bekas ahli majlis MBJB, seorang pemimpin Pemuda dan seorang ahli Pergerakan Wanita antara tujuh nama yang dicalonkan UMNO Bahagian Johor Bahru untuk kerusi Parlimen dan DUN.
Menurutnya, turut disenaraikan ialah beliau sendiri selaku penyandang sedia ada dan wakil rakyat DUN Tanjung Puteri, Ali Mohamed.
“Pemilihan dibuat secara terbuka dan mereka yang dipilih boleh bertanding kerusi Parlimen dan DUN,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, tiada nama luar daripada UMNO Bahagian Johor Bahru dicalonkan untuk kedua-dua kerusi tersebut.

No comments: